Krayan Hulu, Kayan Mentarang Kalimantan – Siri 2

Krayan Hulu, Kayan Mentarang Kalimantan – Siri 2

 

          

Menjejaki Dayang Pelawar

Sejarah serta mitos tentang legenda Dayang Pelawar bagai memanggil kami untuk meneroka perut khazanah hutan rimba Krayan Hulu. Legenda yang penuh tragis ini dikatakan berlaku beratus-ratus tahun dahulu ketika zaman batu. Kelaput, merupakan ketua puak Lun Dayeh yang pertama kali membuat penempatan di Krayan Hulu. Dia mempunyai seorang anak gadis bernama Dayang Pelawar, yang  dikatakan memiliki kecantikan luar biasa. Menurut penduduk kampung di Long Rungan, Dayang Pelawar mempunyai kulit putih mulus sehingga makanan yang dimakannya dapat dilihat dari luar.

Kecantikan Dayang Pelawar mencairkan semua hati jejaka di Krayan Hulu sehingga mereka berebut-rebut untuk berkahwin dengannya. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangi hari Dayang Pelawar untuk menjadi isteri. Namun tiada satu pun daripada mereka berjaya memiliki Dayang Pelawar. Sehinggalah pada satu, semua lelaki yang patah hati tadi mencapai kata sepakat, bukankah lebih adil dengan membunuh Dayang Pelawar agar tidak ada sesiapa yang berkahwin dengannya. Mereka lebih rela melihat Dayang Pelawar mati daripada berkahwin dengan lelaki lain. Plot pembunuhan ini diketuai Balang Adel diikuti beberapa lelaki yang pernah menaruh perasaan kepada Dayang Pelawar. Pada suatu hari mereka mengambil akar tuba di tepi Sungai Dok.

Selepas meracun sungai itu, nama Sungai Dok ditukar kepada Sungai Tuba yang bermaksud sungai beracun. Mereka kemudian mengajak Dayang Pelawar ke tepian sungai dan meminta gadis itu menghidangkan rokok kepada setiap pemuda yang ada di situ. Pada masa itulah seorang daripada mereka mengambil pisau yang direndam dalam air tuba lalu menetak Dayang Pelawar dari arah belakang sehingga mati. Kejadian itu pada mulanya dirahsiakan namun akhirnya sampai ke pengetahuan Kelaput. Sejak hari itu, Kelaput bernekad untuk membalas dendam di atas kematian anaknya. Kelaput kemudian mengadakan pesta besar-besaran di rumah panjang dan menjemput semua anak buahnya termasuk pembunuh Dayang Pelawar. Kelaput yang memelihara seekor harimau, menyediakan 10 balang air tuak yang sudah disumpah. Tiba pada harinya, semua jemputan datang termasuk pembunuh Dayang Pelawar dan meminum tuak yang dihidangkan. Selepas menyedari air tuak itu telah disumpah, mereka melarikan diri dari rumah panjang. Ketika itulah hujan lebat turun disertai dentuman guntur memecah langit. Mereka termasuk Balang Adel bertukar menjadi batu. Rumah panjang tersebut runtuh ke dalam sungai dan bertukar menjadi batu. Bahkan harimau yang mengejar Baleng Adel turut bertukar menjadi batu. Semua kesan sumpahan ini dapat dilihat sehingga ke hari ini di sepanjang sungai Ulu Redan.

Batu Sicen

Perjalanan kami diteruskan dengan pendakian bukit Batu Sicen sebuah tapak warisan yang terletak tidak jauh dari Long Rungan. Ia mendapat nama daripada lebah yang banyak membuat sarang di sekeliling batu tersebut.  Batu Sicen setinggi 40 meter ini dikatakan berasal dari rumah panjang yang terkena sumpahan semasa peristiwa pembalasan dendam oleh Kelaput terhadap Balang Adel. Untuk sampai ke sana, kami menaiki bot selama 20 minit dari Long Rungan dan berhenti di tepi Sungai Tuba. Sebelum turun, kami diingatkan agar tidak menggunakan minyak wangi atau bauan yang boleh menarik perhatian lebah. Kami juga diingatkan agar tidak memukul atau menghembus serangga itu kerana dikhuatiri ia akan mengekori dan menyengat. Namun jangan bimbang, anda boleh terjun ke sungai untuk menyelamatkan diri sekiranya dikejar lebah. Penulis diberitahu, sepanjang Jun banyak lebah membuat sarang dan serangga itu amat peka dengan kehadiran bau manusia. Selain lebah, anda yang berkunjung ke sini perlu bersedia ‘berperang’ dengan pacat dan lintah yang begitu banyak keluar terutama selepas hujan. Pastikan anda memakai seluar, stokin dan kasut yang sesuai untuk mengelakkan pacat melekat pada bahagian badan. Sepanjang pendakian Batu Sicen yang mengambil masa selama dua jam, pelbagai spesies tumbuhan dan bunga liar yang penulis lihat. Antaranya tumbuhan terang bulan. Menurut Marli, jika diguna semasa mandi,  setiap kali bulan mengambang si gadis akan kelihatan lebih cantik bagai bidadari. Selain itu pelbagai spesies tumbuhan menjalar, kulat, cendawan dan orkid tumbuh subur di atas batu.

Akhirnya kami berjaya sampai ke puncak. Di puncak Batu Sicen jelas kelihatan pemandangan yang begitu indah. Hamparan flora dan fauna yang menghijau menyedarkan penulis betapa agungnya ciptaan Tuhan. Kami sempat melihat lebah sedang membuat sarang yang menghasilkan madu. Kegiatan mengumpul madu merupakan salah satu aktiviti penduduk kampung di sini. Bau Sicen juga dikatakan mempunyai satu misteri iaitu apa sahaja yang terjatuh dari puncaknya tidak akan pecah. Ini diakui oleh orang kampung dan pelancong yang pernah berkunjung ke situ. Lampu picit, termos air bahkan anjing yang jatuh dari puncak tersebut tidak pecah atau mengalami sebarang kecederaan.

Batu Penyimpanan Tulang

Dalam perjalanan turun dari Batu Sicen, kami melintasi Batu Pembusukan Mayat. Tempatnya berupa batu-batu yang disusun rapi bulat seperti meja dan ditengah-tengahnya berselerak pecahan-pecahan seramik, tulang, gigi, tengkorak manusia dan tempayan pelbagai motif. Ada seramik bermotifkan lukisan naga dan tulisan berbahasa Arab. Berhampiran terdapat lubang batu tempat menggantung mayat. Menurut Marli, setelah mayat tinggal tulang, ia dibersihkan dan disimpan di celah-celah rekahan Batu Sicen yang dinamakan Batu Penyimpanan Tulang. Artifak sejarah termasuk perhiasan, tembikar, tulang dan gigi si mati masih boleh ditemui sehingga ke hari ini. Tidak jauh dari Batu Penyimpanan Tulang, terdapat sebuah gua yang dipanggil Gua Kelelawar, gua terbesar di Krayan Hulu. Sekali masuk, anda seperti melihat siri National Geografik. Jika bernasib baik, anda akan melihat ular melingkar di celah-celah gua menunggu kelawar untuk dijadikan hidangan. Jam sudah menunjukkan 2 petang. Kami meninggalkan legenda Dayang Pelawar bersama Batu Sicen, tempat Pembusukan Mayat dan Gua Kelelawar. Kami kemudian menaiki bot untuk meneruskan ekplorasi ke Giram!

Kami sampai di sana kira-kira satu setengah jam. Perahu tidak dapat melalui jeram ini kerana arus yang kuat dan berbahaya. Batu besar di kiri kanan menyebabkan air yang melaluinya berpusar kuat dan mampu membuat perahu karam. Malam itu kami tidur di sebuah kem yang dibina berhampiran Giram. Pemandangannya sungguh indah, sunyi sepi hanya kedengaran unggas dan bunyi air mengalir di celah-celah batu. Tempat ini amat sesuai untuk mereka yang ingin mengabdikan diri dengan alam semula jadi. Penulis sempat merakamkan pelbagai spesies orkid Borneo yang begitu banyak tumbuh di pokok kayu dan tanah. Malam itu kami menikmati ikan segar yang dipancing dari dalam sungai Krayan. Begitu berselera menikmati ikan jelawat dan ikan haruan yang dibakar dan dicecah menggunakan cili api. Selain itu umbut yang dipansuh menggunakan buluh. Giram juga menempatkan tapak warisan Paro’u Ateng berupa ukiran batu oleh manusia zaman pra sejarah yang mula-mula membuat penempatan di situ.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *