Krayan Hulu, Kayan Mentarang Kalimantan – Siri 3 (Akhir)

Krayan Hulu, Kayan Mentarang Kalimantan – Siri 3 (Akhir)

Keesokan hari kami meneruskan ekplorasi ke Pa Upan, kira-kira dua jam menggunakan bot dari Giram. Kali ini kami menyusuri Sungai Kuyur yang kaya dengan tapak warisan seperti batu-batu ukiran zaman batu di tebing Sungai Kuyur dan kubur yang berusia ratusan tahun di Long Kerunan dan Long Per. Kubur batu di Sungai Kuyur adalah batu pipih yang disusun menyerupai bangunan. Di dalam batu itu, dijumpai tempayan, pecahan tempayan dan seramik dan tulang manusia. Andy yang juga pemandu perahu penulis memasukkan tangan ke dalam tempayan dan mengambil tengkorak, tulang kaki dan lengan yang jauh lebih panjang membuktikan manusia lebih besar.

Menurut warga Pa Upan, Gat Khaleb, dulu kaum Lun Dayeh dan Sa’ban tidak mengebumikan mayat didalam tanah. Sebaliknya mayat itu digantung di suatu tempat dan dibiarkan mereput. Selepas beberapa minggu atau bulan, tulang-tulang si mati akan dikutip dan disimpan dalam sebuah tempayan. Semua tulang penduduk kampung yang mati akan disimpan dalam satu tempayan yang sama. Batu-batu pipih diletakkan mengelilingi tempayan untuk menggelakkan gangguan binatang. Namun hari ini, amalan menggantung mayat tidak lagi diamalkan sebaliknya penduduk di situ mengguburkan mayat.

“Amalan ini sudah ditinggalkan selari dengan perubahan semasa. Kini mayat si mati dikuburkan seperti mana kaum dayak Iban di Sarawak,” katanya kepada penulis. Kaedah pengebumian di sini sama seperti Batu Sicen dan apa yang membezakan, mereka di sana memanfaatkan celahan batu untuk menyimpan tulang.

Semalam di Pa Upan, kami berpeluang mempelajari cara-cara membuat sago oleh masyarakat Punan. Riuh rendah jadinya apabila kami diberi peluang mengeluarkan isi kayu mulong sebelum ditapis dan diproses menjadi linut. Keesokkan harinya kami sempat singgah di kedai kraf tangan daripada etnik Sa’ban yang terletak di atas bukit Swiss. Ia dinamakan bukit Swiss bagi mengingati orang berbangsa Swiss yang pertama kali tinggal di situ. Banyak barang dijual termasuk bakul, sumpit, manik dan senduk yang mempunyai ukiran. Walaupun agak mahal, namun buatannya kemas dan cantik.

Kembara diteruskan dengan lawatan ke Long Layu iaitu destinasi terakhir kami yang mengambil masa dua jam menggunakan bot. Long Layu merupakan ibu kota Kecamatan atau daerah Krayan Selatan, Wilayah Nunukan. Di sana kami berkenalan dengan kepala adat, Lewi Gala, yang begitu peramah dan informatif memberikan maklumat. Pada 1987, beliau mengumpulkan lapan desa di hilir Sungai Krayan untuk bersatu dan menetap di lokasi sekarang. Menurutnya, Long Layu mempunyai akses jalan ke Long Bawan namun hanya dapat menggunakan motosikal.

“Keadaan jalannya terlalu teruk sehingga kenderaan bisa rosak dalam seminggu. Hanya motosikal dapat digunakan, itupun mengambil masa tiga jam perjalanan dengan tambang RM120 untuk satu perjalanan,” katanya.

Lewi menambah, kehidupan di Long Layu tiada jauh beza di Long Rungan dan Pa Upan, penduduknya bercucuk tanam untuk keperluan sendiri. Namun Long Layu yang menempatkan kira-kira 800 penduduk, lebih maju berbanding kedua-dua kampung itu. Mereka mempunyai kedai runcit, satelit dan rumah kayu yang tersergam indah. Selain itu landasan pesawat sepanjang 900 meter yang mampu didarati pesawat Casa, Cesna dan Airfan. Petang itu penulis dibawa mengelilingi perkampungan Long Layu dan landasan pesawat. Ngeri juga melihat dua buah pesawat Deraya Air Services (DAS) dan Kura-kura Aviation yang tersadai di hujung landasan dan tepi landasan dipercayai tergelincir semasa operasi.

Selesai menikmati makan malam di rumah Lewi, kami dihiburkan dengan tarian tradisional Lun Dayeh yang diiringi muzik Sape. Terpesona menyaksikan penari-penari yang begitu bersungguh-sungguh mempersembahkan tarian tradisional Lun Dayeh.

Malam itu semua rombongan dari Miri dan Kuala Lumpur diberikan penghormatan dengan nama panggilan baru oleh Marli. Penulis digelar Ruran Ulung yang maksudnya dalam masyarakat mereka perempuan tercantik di Kepulauan Borneo.

Keesokan harinya, kami menikmati sarapan dan makan pagi terakhir di Long Layu. Sesudah makan, Lewi dan Marli mengajak menikmati sejenis air rebusan iaitu sarang semut. Menurut Marli, ia bagus diamalkan oleh mereka yang baru menjalani pembedahan selain membuang angin di badan. Penulis turut mencuba minuman sarang semut yang rasanya seperti sabun Dettol. Kami bertolak ke lapangan terbang yang kira-kira 15 minit berjalan kaki.

Perasaan sedih mula terasa apabila Marli dan Lewi bersalaman dengan kami sebagai tanda perpisahan. Kami terbang semula ke Long Bawan menggunakan pesawat lapan duduk yang mengambil masa 13 minit. Dari sana menaiki pacuan empat roda dan motosikal ke Ba Kelalan. Sepanjang lima hari berada di Krayan Hulu, penulis begitu terpaut dengan keindahan alam semula jadi, makanan eksotik, keunikan budaya serta masyarakatnya yang begitu peramah. Penulis berazam untuk kembali ke sana suatu hari nanti!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *