Menelusuri kehebatan Stuttgart

Menelusuri kehebatan Stuttgart

 

BERBANDING negeri lain seperti Frankfurt, Stuttgart merupakan suatu nama yang begitu asing bagi saya. Peluang menjejak kaki ke Stuttgart baru-baru ini telah menambah pengetahuan saya mengenai ibu negeri Baden-Württember itu. Pada mulanya, saya sedikit ragu-ragu memilih Stuttgart sebagai destinasi pelancongan, mungkin kerana namanya tidak sehebat kota metropolitan yang lain seperti Berlin yang merupakan ibu negeri Jerman.

Ada apa pada Stuttgart? Itu antara persoalan yang terlintas di fikiran saya beberapa hari sebelum menempah tiket penerbangan ke sana. Namun apabila sampai di sana selepas melalui kira-kira 13 jam penerbangan, saya begitu teruja dengan maklumat mengenai Stuttgart yang merupakan antara 16 negeri di Jerman.

Menurut Martha, iaitu kenalan baik saya yang merupakan orang Jerman, Stuttgart bukan destinasi pelancongan yang utama, sebaliknya menumpu kepada industri teknologi tinggi dan perniagaan. Stuttgart bukan calang-calang kerana negeri itu merupakan kampung halaman kepada kereta mewah seperti Mercedes dan Porsche. Malah Volkswagen Beetle yang pertama dikeluarkan di sini juga.

Selain itu, Stuttgart juga mempelopori kehebatan dunia teknologi tinggi dengan penghasilan alat gantian automotif melalui syarikat gergasi seperti Bosch dan Mahle yang berpangkalan di situ. Selain itu, syarikat ulung Jerman seperti Celesio, Neoplan, Hewlett-Packard , IBM, Carl Zeiss dan Hugo Boss turut berpangkalan di Stuttgart.
Maka tidak hairanlah, dikalangan rakyat tempatan dan golongan peniaga dan industri, Stuttgart digelar dengan nama “Where business meets the future”.

Untuk pengetahuan, Stuttgart pernah disenaraikan ditangga ke 30 di peringkat global oleh Mercer 2010 sebagai kawasan yang paling sesuai didiami selain tangga ketujuh di Jerman selepas Frankfurt, Düsseldorf dan Munich.

Dalam bidang ekonomi dan inovasi sosial pula, Stuttgart menduduki tangga ke-11 di peringkat global manakala kedua di Jerman selepas Hamburg dan ketujuh daripada 256 bandar raya di seluruh Eropah. Dengan rekod cemerlang ini, tidak hairanlah negeri yang mempunyai kepadatan penduduk kira-kira 5 juta ini dikatakan antara negeri terkaya di Jerman. Apa tidaknya, kerana pemilik syarikat terbesar dan berkepentingan di Jerman lebih gemar memilih Stuttgart sebagai pangkalan operasi mereka.

Ringkasnya, Stuttgart dapat disifatkan sebagai tulang belakang ekonomi kepada Jerman. Stuttgart terbahagi kepada 23 bandar raya dan antara yang terkenal ialah Bad Cannstatt (spa mineral terbesar di Eropah Barat, Zoo Wilhelma dan Festival Cannstatter Wasen), Moehringen (teater musikal), Stammheim (Mahkamah Tinggi dan penjara), Untertiükheim (ibu pejabat DaimlerChrysler dan loji asal Mercedes-Benz), Vaihingen (Universiti Stuttgart), Zuffenhausen (pangkalan syarikat kereta Porsche) dan Feuerbach (pangkalan loji Bosch).

Terletak di tebing Sungai Neckar, Stuttgart bukan sahaja merupakan kota impian bagi pemilik industri dan perniagaan, namun ia kaya dengan hutan menghijau dan ladang anggur yang terbentang luas. Malah, di sinilah satu-satunya tempat yang mana anggur ditanam-tanam di tengah kawasan kota metropolitan, dikelilingi bangunan gah automobil.

Berdasarkan fakta sejarah, Stuttgart yang wujud pada abad ke-10 dulunya dikenali sebagai Stuttengarten dan pernah menjadi pusat penternakan kuda untuk kegunaan pasukan berkuda di raja Württemberg. Semasa Perang Dunia Kedua, pusat bandar itu hampir musnah oleh serangan udara. Selepas perang berakhir, Marshall Plan kemudian menggabungkan dua negeri iaitu Baden dan Württemberg dan mengumumkan Stuttgart sebagai ibu negeri.

Disebabkan peperangan itu, tidak banyak bangunan bersejarah yang asal masih wujud. Namun saya melihat, banyak usaha dilaksanakan untuk membangunkan semula kebanyakkan bangunan yang telah musnah bagi memastikan sejarah dan tinggalan lalu tidak hilang ditelan masa.

Salah satu daripadanya ialah Muzium Württemberg yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Stuttgart. Selain itu, Dataran Schlossplatz, dataran terbesar di Stuttgart yang menempatkan Neues Schloss atau istana baharu yang kini menempatkan pejabat rasmi kerajaan. Saya begitu kagum dengan binaan yang menggabungkan stail Baroque sehingga zaman pemerintahan Imperial.

Setiap tahun, Dataran Schlossplatz ini menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong untuk menyaksikan pelbagai aktiviti seperti konsert terbuka, pameran kanak-kanak dan aktiviti santai. Bersebelahannya ialah Schillerplatz yang diabadikan untuk memperingati penyair, ahli falsafah, sejarawan dan dramatis kelahiran Stuttgart, Friedrich Schille.

Stuttgart juga terkenal dengan nilai kebudayaan dan pembuatan minuman wain yang dihasilkan secara tradisi. Setiap kali musim panas, Stuttgart akan menjadi tumpuan setengah juta pelancong untuk menghadiri festival wain. Malah kota metropolitan ini juga begitu tersohor dengan Staatsgalerie (muzium bertaraf dunia) dan Staatstheater yang menempatkan rumah opera dan tiga teater. Jika ke sana, pengunjung berpeluang melihat balet, opera, konsert dan produksi teater. Untuk rekod, Stuttgart Opera pernah merangkul Opera of the Year selama lima tahun berturut-turut.

Selama sembilan hari di sana, saya menggunakan peluang sepenuhnya untuk melawat beberapa destinasi pelancongan yang terkenal antaranya Muzium Porsche, Muzium Mercedes Bens, Taman Botanikal Wilhelma, Taman Neckar, Heidelberg, Black Forest, Mark Platz, Ludwisburg dan Bad Cannstatt.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *